Sisi-sisi sunyi sebuah kota
Pergi ke pasar di tengah bandar Kota Kinabalu pada waktu malam dan menyaksikan manusia dari setiap lapisan umur. Disajikan dengan bau-bau rokok serta kebisingan bunyi pasar. Namun tetap ada sisi menarik pasar ini, iaitu ia dibuka pada tiap tiap malam. Kiranya setiap malam adalah pasar malam dan pasar basah juga dibuka pada waktu malam. Kebiasaannya pasar ini ditutup pada waktu lebih kurang 11 malam.
Bersama Kak Ummu, kami pergi ke sana lebih kurang pukul 10 malan namun suasana masih lagi hingar bingar dengan laungan peniaga ikan, ayam, sayur, buah dan sebagainya. Semasa kami ralit memilih ikan ada seorang budak perempuan menghampiri kami sambil memegang plastik.
Kak Ummu belum perasan kerana dia membelakangi kanak-kanak perempuan tersebut. Riak muka kanak-kanak perempuan tersebut seakan mahu meminta sesuatu sambil mengangkat plastik kosong berwarna hitam. Disisinya ada sebuah beg yang digalas yang jelas boleh dilihat isinya iaitu plastik bewarna hitam.
Ratapan kanak-kanak perempuan itu seakan ingin meminta sesuatu menyebabkan saya tertanya-tanya adakah kanak-kanak ini ingin meminta sedekah. Sebab tak boleh nak agak apa yang dia nak, maka saya mulakan rentak pertanyaan."Dik, adik nak duit ke? "Dia diam.
Rasanya kanak-kanak ini ada membalas sesuatu namun saya tidak boleh menangkap percakapannya di dalam dialek Sabah. "Kak Ummu, adik ni mintak sedekah ke kak? Dan kak Ummu pun balas " ouh tak, mereka nak buat kerje angkat barang lah tu. Nanti kita bagilah mereka upah. Satu plastik biasanya dalam 20 sen. Tapi sekarang Kak Ummu tak tahulah berapa harganya, kot kot dah naik".
Lalu saya bertanya budak perempuan berapa sen satu plastik. Katanya 50 sen satu plastik. Tetapi Kak Ummu segera memintas "takpe dik, kitorang boleh pegang sendiri", sambil tersenyum manis.
Berkesempatan bertanya kanak-kanak perempuan itu berapakah hasilnya sehari-hari, kanak-kanak itu memberitahu bahawa adalah lebih kurang Rm20-Rm80. Ketika ditanya berapa umur, katanya dia tidak tahu.
Jujurnya ketika saya menulis mengenai buruh muda di hadapan saya ini, perasaan agak bercampur baur. Ada sedih, ada juga kagum. Ada juga bangga tapi ada juga kecewa. Sedih kerana di usia yang nampaknya baru mencecah 10 tahun sudah bekerja sehingga tengah malam mencari wang, kagum kerana dapat hidup dengan keras. Bangga kerana seorang perempuan melawan hari-hari sukarnya. Sedih kerana ini menggambarkan keruntuhan institusi keluarga, masyarakat dan ekonomi negara.
Umurnya hampir sebaya dengan adik perempuan saya namun di usia ini dia telah bekerja.
Namun sayangnya di usia ini, kanak-kanak perempuan ini tidak dapat menikmati pendidikan.
Sangat rugi rasanya jika seorang kanak-kanak tidak dapat menikmati pendidikan kerana pendidikan adalah jalan pembebasan. Pembebasan yang bagaimana? Pembebasan dari kejahilan mengenai tuhan yang Esa, pembebasan yang menjadikan celik fikirnya, cerdas azamnya.
Namun sayangnya kerana survival hidup, pendidikan adalah perkara yang boleh ditangguhkan. Lebih tepatnya diabaikan. Yang penting ada duit untuk hidup untuk hari ini, esok dan keesokan harinya.
Apa yang kita bimbangkan di tahun-tahun hadapan? Golongan sebegini apabila mereka besar, mereka cukup selesa dengan gaji Rm 400-500. Mereka mudah ditipu majikan kerana bukannya pandai membaca, jika mahu melawan mereka tidak celik undang-undang. Mereka akan mudah dimanipulasi dan ditipu oleh manusia yang mengejar keuntungan. Yang mana situasi ini akan tetap berada dalam kitaran kemiskinan yang sama sehingga ke generasi seterusnya.
Ya dan lagi sadis adalah 'survival' hidup yang mencengkam menyebabkan mereka tidak berpeluang belajar kepercayaan agama. Pembelajaran mengenai Allah yang Esa, Rasul yang diutuskan,
Di mana kekayaan material tidak dapat dan pelajaran agama tidak juga berkehendak. Dunia tidak dapat, akhirat juga tidak dan mereka akan terus dan terus diperbudak sisi sisi dunia.
Jadi solusinya harus bagaimana?
Pandang jauh ke depan. Ayuh lihat wajah generasi kita akan datang. Kita tidak mahu dunia itu penuh dengan manusia manusia bias. Kita mahu dunia ini penuh dengan manusia luar biasa. Tugas kita untuk membentuk mereka jadi seorang 'manusia'. Sumbangkanlah dengan apa yang ada. Mungkin masa dan tenaga, mungkin ilmu di dada, mungkin harta yang sedikit cuma. Masuk ke ceruk ceruk kampung dan pulau, usahakan untuk membajai pendidikan.
Jika mereka mahu meneruskan kerja dengan terus menjasi sang pemegang barang, biarkan! Asalkan mereka tidak kontang ilmu kehidupan dunia dan akhirat. Agar boleh menjadi sang penebar agama dengan lebih luas dan hikmah. Jika budak perempuan itu dibentuk dengan ilmu dan taqwa, dia boleh menjadi duta duta agama. Mereka lebih ramai bertemu dengan orang, maka itu satu peluang dakwah yang sangat besar. Kita mengerti dakwah bukan selebriti. Berdakwah di pasar pasar itu satu bentuk dakwah yang rare. Sememangnya seorang manusia tidak dinilai melalui pekerjaan, akan tetapi dinilai pengetahuannya.
Ulasan
Catat Ulasan